Boleh jadi Allah mengabulkan harapan kita dengan tidak memberi apa yang kita inginkan kerana Dia mahu tahu bahaya yang akan menimpa dibalik keinginan kita.
Berprasangka baik terhadap Allah adalah akhlak tertinggi yang dimiliki oleh seorang Muslim. Sungguh kasih sayang Allah Maha Luas dan tiada terhingga banding kasih sayang manusia. Sungguh pengetahuan Allah Maha Luas dibandingkan dengan pengetahuan manusia. Oleh itu, sangat naïf jika kita berprasangka bahawa Allah tidak sayang kepada kita kerana tidak mengabulkan doa kita.
Siapa yang mencipta kita? Saudaraku, pastilah kita tidak akan menyangkal bahawa Allah yang mencipta kita semua. Jadi, bagaimana mungkin Sang Pencipta tidak tahu apa yang diinginkan oleh makhluk ciptaan-Nya? Bahkan bukan hanya tahu apa keinginan kita , malah Allah lebih tahu apakah keinginan kita itu baik atau buruk bagi diri kita sendiri.
Sesungguhnya sebuah permintaan dalam doa yang tidak dimakbulkan adalah sebahagian dari rencana Allah untuk kita.
Namun, bagi manusia yang sedar diri,tentulah akan berprasangka bahawa permintaan itu mungkin buruk baginya. Jangan cuba menduga-duga bahawa Allah tidak sayang atau telah lupa pada kita. Nauzubillah min dzalik.
Cuba kita renungkan, banyak sekali hal yang kita tidak minta, tetapi Allah berikan. Kita tidak minta kesihatan, tetapi Allah berikan kesihatan setiap hari. Kita tidak minta dicukupkan makan, tetapi Allah memudahkan kita mendapatkannya malah Allah tidak pernah tidak memberinya.
Subhanallah, kita sering mengingat-ingat akan satu keinginan yang belum terkabul, tetapi melupakan nikmat lain yang terlalu banyak Allah berikan tanpa kita sedari. Sungguh Allah tidak pernah merasa lelah memberi nikmat kepada kita meskipun kita melupakannya.
Namun, Allah telah mengingati bahawa Dia adalah persangkaan hamba-Nya kepada-Nya.
ooo Renungan ooo
“Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan cukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” ( At-Thalaq: 2-3)
Oleh kerana itu, takutlah kepada berprasangka buruk kepada Allah. Semakin buruk, semakin jauh Allah dari kita. Istighfar segera, agar Allah tidak mencabut pertolongan –Nya dari kita. Fikirkanlah banyak perkara yang Allah sudah berikan, lupakan satu permintaan yang belum terkabul itu, kerana ALLAH LEBIH TAHU APA YANG KITA PERLUKAN.
DOA SELALU BERBALAS
“ Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya, dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, yaitu dipercepatkan terkabulnya di dunia, disimpan untuknya sampai akhirat atau diganti dengan mencegahnya dari musibah yang serupa” (HR At-Thabrani)
No comments:
Post a Comment